Hello Guys...since penulis pernah melawat rumah Agnes
Keith bersama family, penulis mengongsikan sedikit mengenai sejarah perihal Agnes
Keith dan rumahnya yang telah dijadikan sebagai salah satu muzium peninggalan
yang berada di Sandakan, Sabah.
Agnes Keith, ‘Maharani
Putih’ Sabah
Agnes
Keith, atau nama rasminya, Agnes Newton Keith (1901-1982) terkenal atas dua
perkara yang ditinggalkannya: buku dan bekas rumahnya. David Thein pula
menobatkan Agnes Keith sebagai “Sabah’s three white
maharanis”. Maka, tulisan ini akan menelusuri hayatnya di Sabah
melalui buku-bukunya dan kisah hantu rumahnya.
Lahir di Oak Park, Illinois dan mendapat
pendidikan tinggi daripada Universiti of California, Berkeley; Agnes Keith
mendewasa menjadi seorang wartawan di syarikat San Francisco Examiner. Selepas
insiden serangan seorang kartunis ke atasnya, beliau terpaksa berehat sebentar
di Eropah bersama abangnya Al.
Usai tamat tempoh istirahat itu, beliau
menukar sedikit haluannya menjadi seorang penulis. Pada 1934, beliau menamatkan
zaman bujangnya dengan mengahwini Harry G. Keith, seorang pegawai Inggeris di
Borneo Utara. Sebagai isteri yang setia dan seorang pengembara yang laparkan
benda baharu, mereka berlayar ke Borneo Utara – membawa semangat mimpi Amerika
yang suka mempertikai sifat tradisional British.
Saat
kaki beliau menjejak tanah Borneo, seperti orang putih yang lain, beliau juga
amat menyukai ketenangan eksotik Sandakan. Sekali sekala beliau juga turut
bersama dengan urusan Harry di kawasan pedalaman. Tertulislah manuskrip
buku Land Below the Wind, karya naratif Borneo Utara yang
segar, baharu dan berbaur kritik lawan ke atas superioriti Inggeris. Yang
pasti, kesegaran kisah Borneo di mata seorang wanita Amerika lebih jujur dan
humanistik berbanding tulisan-tulisan para pegawai lelaki Inggeris.
Karya menggoncang imej
mistik dan misterinya Borneo Utara ini telah memenangi Atlantic
Monthly Non-fiction Prize. Suatu pujian yang besar kepada seorang penulis dan
pengembara wanita ke dunia bawah angin. Pujian ini jugalah, dalam diam, menjadi
penyelamat Agnes Keith dan anaknya ketika Jepun melanggar Borneo Utara pula
pada 1942.
Dalam
bukunya Three Came Home, perjalanannya sebagai salah seorang
tawanan dan ibu kepada seorang anak lelaki bernama Henry “George” Newton Keith
tidak hanya membuka perspektif yang tidak akan dapat ditandingi mana-mana
penulis memoir zaman penjajahan. Bahkan, Agnes Keith berjaya memanusiakan
kelompok kecil tentera Jepun daripada celaru penghukuman moral yang lebih suka
menjumlahkan satu sifat kepada keseluruhan masyarakatnya.
Buku
terakhir yang menutup hikayat cintanya pada Borneo Utara adalah White Man Returns, menyaksikan senario seharian bersama
dengan rakan/pekerja peribumi yang sudah biasa bekerja di bawah naungan
keluarga Keith. Senario seharian ini juga tidak terbatas pada wilayah bicara
seorang wanita kulit putih berdarjat dengan kaum peribumi. Seperti zaman ini,
kesedaran massa melebarkan sayap pandangan berdasarkan perkembangan politik
global. Agnes Keith, seorang penulis wanita tersohor dan terlibat rapat dalam
urusan orang atas menebarkan kongsi tahu-dan-fikir sekembalinya mereka di tanah
Borneo Utara.
Di mana pula harus kita dudukkan rumah
hantu Agnes Keith? Kini hanya sunyi digigit pemelihara-pemulihara yang dibayar,
barangan keluarga Keith membantu imbauan sejarah kita agar lebih nyata dan
benar dari sekadar teks dalam trilogi seorang wanita Amerika yang merekod dunia
masyarakat bawahan.
Berkunjung
ke Rumah Agam Newlands, menerpa pula kenangan kolonial beralaskan barangan
antik pegawai British dan reka bentuk banglo desa atas bukit di Sandakan.
Memetik beberapa cerita yang dilaporkan oleh Rodly Fadly (Metro, 26
Mei 2017):
“Malah, pengalaman seram turut
dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap
di situ selama 12 tahun (1955-1967). Rosemary tinggal seorang diri ketika
suaminya bertugas di Kota Kinabalu. Menurut Rosemary, dia terbangun pada waktu
Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti
bunyi orang berjalan menuju ke biliknya. Apabila dia membuka mata, Rosemary
mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke
arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.”
Senarai yang lebih lengkap sengaja
dipamerkan dalam rumah agam itu sendiri, mengenai kisah dan peristiwa misteri
yang pernah dialami oleh sesiapa yang duduk di rumah tersebut.
Agnes mungkin melakukan keputusan yang baik
untuk tidak terlalu memikirkan kejadian penampakan ini sehingga membiarkan para
pembaca memoirnya turut resah dengan rumah agam itu. Sebaliknya, acap kali
rumah agam tersebut hanya melatari serba-serbi hidupnya. Rumah tersebut berdiri
di waktu pra-perang. Berdiri kekal ketika pasukan Jepun menawan Sandakan dan
sempat menangisi keluarga Keith diangkat pergi. Runtuh diratakan tahi garuda
perang. Berdiri kembali pasca-perang.
Agnes, dalam satu cara yang unik, adalah
wanita berbangsa Amerika, seorang penulis sejarah Sabah yang mengharumkan Sabah
(secara eksklusifnya) sebagai ‘tanah di bawah Bayu’ – suatu gelar yang terpakai
dengan penuh bangga sehingga kini.
History Agnes Keith House
Kesempatan berkunjung ke rumah yang
pernah didiami penulis tersohor Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama
suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George mencetuskan keterujaan diri dan
keluarga yang berkunjung
Rumah Agnes Keith yang terletak di
Jalan Istana, Sandakan, Sabah merupakan antara destinasi menarik yang perlu
dikunjungi sekiranya berada di Bandar Sandakan. Keunikan seni bina, dekorasi
rumah dan sejarah yang terkumpul di dalamnya menambahkan lagi keinginan penulis
untuk menjejakkan kaki ke situ.
Apabila melangkah masuk ke rumah
kayu putih yang berwarna putih tersergam indah itu, kita akan dapat merasakan
diam di sebuah rumah ala-ala barat di era colonial. Bermula jam dinding jenama
Monthe buatan Jerman, hingga peti sejuk lama Kelvinator dan radio hitam Bush
buatan London, semua barangan antik rapi itu menggambarkan kemewahan masa
lampau.
Puluhan gambar lama hitam putih
menghiasi dinding tingkat bawah rumah membawa menyelami kehidupan sekitar
1930-an dan 1950-an.
Pemandangan kampung air arah
selatan, bangunan pejabat kerajaan dan pasar Sandakan selepas perang
menunjukkan peniaga Cina dalam pakaian tradisional dengan rambut panjang kemas
bertocang dan togi tiga segi, lebih mengusik sanubari.
Bahagian ruangan bilik kerja di
tingkat atas rumah yang dipanggil The Book Room, terus membawa kelekaan kepada
pengunjung untuk menikmati suasana kolonial menerusi mesin taip keemasan
Remington, piring hitam His Master Voice dan mesin jahit 'Vickers'. Bangunan
Muzium Warisan yang pernah digunakan kerajaan ketika pemerintahan British.
Karya tersebar ke
seluruh dunia
Selain itu, seramik
buatan Eropah dan China, duit syiling dan pelbagai artifak zaman perang menjadi
tarikan di rumah yang pernah digelar Newlands itu.
Rumah terletak di
Jalan Istana, Sandakan itu suatu ketika dulu pernah didiami penulis, Agnes
Newton Keith yang menghasilkan karya Land Below The Wind pada 1939 hingga
memasyhurkan Sabah di mata dunia.
Karyanya itu
berkisarkan kehidupan masyarakat tempatan pribumi dan keindahan alam semula
jadi ketika pemerintahan British sehingga ke hari ini, masih dibaca di seluruh
dunia.
Tidak sukar untuk
mengetahui sejarah rumah itu kerana setiap sudut mempunyai label yang
menceritakan kehidupan penghuni.
Rumah asal musnah
kerana perang
Berdasarkan sejarah,
Newton pertama kali ke Sabah atau ketika itu dikenali Borneo Utara pada tahun
1934 selepas berkahwin dengan Harry George Keith, iaitu konservator hutan yang
bekerja di Sandakan sejak 1925.
Rumah kayu dipanggil
Newlands itu didiami Newton bersama suami dan anak lelaki mereka, George
selepas dibina semula antara 1946 hingga 1947.
Pembinaan semula
dibuat selepas tapak asal musnah dalam Perang Dunia Kedua dan ia rumah kerajaan
pertama diperbuat daripada kayu selepas peperangan.
Dua lagi buku hasil
karya Newton menyusul selepas itu adalah Three Came Homa pada 1946 dan White
Man Returns (1951) yang ditulis di rumah terletak di dataran atas bukit
memperlihatkan pemandangan teluk dan laut terbentang luas.
Pemulihan oleh Jabatan
Muzium
Selepas pasangan Keith
dan anak mereka meninggalkan Sabah pada tahun 1952, rumah itu menjadi kediaman
beberapa konservator hutan dengan terakhir ialah Tom Bayles pada 1968.
Rumah itu dikatakan pernah
kosong selepas 1992 dan bertambah teruk apabila dijadikan sarang penagih dadah
dan aktiviti tidak bermoral.
Usaha pemulihan hanya
dibuat pada 2001 oleh Jabatan Muzium Sabah dengan kerjasama Jabatan Muzium dan
Antikuiti.
Antara komponen
penting dalam pemulihan itu adalah penggalian bahan arkeologi sehingga penemuan
beberapa bahan menarik seperti batu keping merah dan perkakas menggali
prasejarah di bahagian belakang rumah.
Ia kemudian dibuka
secara rasmi kepada orang ramai pada 16 April 2004 sebagai anugerah Sabah
kepada Newton yang menjadi pemenang Pengarang Amerika, sekali gus menandakan
proses pengiktirafan anugerah sampai ke mercu kemuncaknya.
Bagi penulis, paling
menggamit kenangan dalam rumah itu adalah poskad bertarikh 1943 dan dua anak
patung yang dijahit Newton daripada pakaiannya ketika dalam tahanan tentera
Jepun. Nota tersembunyi disumbat dalam patung untuk bukunya Three Came Home,
sehingga kini tersimpan kemas dalam peti kaca di rumah itu.
Meninggalkan banyak
kenangan
Rumah Agnes Keith
antara lokasi paling mendapat tumpuan dalam 10 destinasi Jejak Warisan Sandakan
bagi pelancong asing yang berkunjung di daerah timur Sabah.
Selain cerita di
sebalik rumah itu, pelancong berpendapat rumah bercirikan zaman kolonial amat
menarik bagi mereka yang tidak mengenali Sabah.
Pelancong dari New
York, Jesse Ravenstock, berkata mereka hanya mengetahui kewujudan muzium
berkenaan selepas datang ke Sandakan.
"Mengenali Agnes
Keith menerusi rumah ini membawa kami untuk mengetahui Sabah menerusi sejarah
penjajahan yang diceritakan.
"Saya harap mampu
memiliki buku dihasilkan penulis itu agar kedatangan saya ke Sandakan sentiasa
dalam kenangan," katanya.
Rakannya, Gwen Cruz,
berkata dia berasa seakan berada dalam rumah ibu saudaranya di Stockholm sebaik
memasuki rumah berkenaan kerana ciri British yang ditampilkan.
Selain Rumah Agnes
Keith, antara destinasi Jejak Warisan Sandakan adalah Masjid Jamek yang tertua
di Sabah iaitu lebih 120 tahun, tangga seribu, peninggalan Tangga Lama, Tokong
Goddess of Mercy dan gereja St Micheal and All Angels.
Tiga lagi adalah
tokong Sam Sing Kung, Pancutan Malaysia dan Pusat Maklumat Pelancong.
Extra Info :
* Agnes Keith House
terletak di Jalan Istana, 5 minit dari bandar Sandakan
* 10 kilometer dari
Lapangan Terbang Sandakan
* Dibuka setiap hari
bermula jam 9 pagi hingga 5 petang
* Yuran masuk bagi
warga Malaysia RM 2, manakala RM15 bagi pelancong asing
* Kemasukan percuma
bagi pelajar berpakaian seragam, orang kurang upaya, warga tua dan pemandu
teksi.
Gambar-Gambar penulis
bersama keluarga di rumah Agnes Keith
0 Comments